Oct 31, 2006

Kenangan Ramadhan :)

[nota: ini entry yang tertunda..hehe]


Ramadhan makin ke penghujungnya. Pejam celik, tak terasa begitu panjang. Ke kelas tiada panas, asyik dipayungi mendung. Nyaman, terasa keberkatan bulan mulia.

Saya berkesempatan jadi 'Mak Kiyai' di masjid kampus. Benar satu pengalaman yang menarik. Tugas utama saya adalah untuk mengagihkan makanan yang disediakan oleh pihak masjid kepada mereka yang singgah iftar. Yang akan berbaris mengambil makanan terdiri dari sebahagian rakan pelajar di Taman Ilmu dan Budi

Ada juga kawan- kawan menyapa ketika saya sibuk bertugas. Selalunya saya balas dengan senyuman. Apa yang mereka fikir agaknya ya? Saya tak tahu. Dan, tak mahu ambil tahu. Yang penting, saya suka dengan kerja tersebut. Sekali tu ada sahabat bertanya:

"Kau ambil bahagian pengurusan masjid ke?"

Senyum saya mendengar [Tak, saya turun secara sukarela lah] Saya bersama beberapa orang rakan membantu pihak pengurusan masjid mana yang patut. Berguna juga waktu petang saya :)

Ada suatu masa yang sangat senggang, saya sempat melayan telatah anak-anak kecil yang sama beratur mengambil bekalan. Lucu rasanya. Diri yang dah besar panjang ni, melayan kanak-kanak bermain^_^ Biarlah, saya suka cara begitu.

Boleh test ilmu psikologi yang saya ada. Mungkin untuk ditambah atau diolah :)

Menjadi 'Mak Kiyai', bukan perkara yang mudah. Bila nak berurusan dengan manusia ni, tahu-tahu sajalah. Banyak kerenah. Lantas, saya dan team yang ada kena banyak sabar, atau pahala puasa akan berkurangan :)

Tugas itu menuntut saya bersabar, selalu tersenyum dan berlaku 'adil. Senyum, sebab saya menghulur makanan. Dan, saya menuntut diri untuk senyum bila berkongsi rezeki dari Allah.

[Saya pun kurang senang jika orang bermasam muka, jadi saya mulainya]

Mengusik dan beramah dengan rakan pelajar yang menerima makanan benar buat saya menjadi seorang ALONG, saya dihimpit rasa yang benar bahagia. Ia, bahagia melihat orang lain bahagia :)

Saya juga kena 'adil untuk memastikan makanan dapat diagih sama rata. Kadang, serba salah bila ada rakan baik yang mencuit dari belakang. Mereka tak beratur! Aduh. Mengambil kesempatan. Tak eloklah begitu, kan? Kesian kepada yang dah berbaris panjang sejak jam 5 petang. Lalu, saya gagahkan diri untuk menjadi telus. Menjadi tegas.

Saya bahagia. Tadi, hari terakhir melaksana tugas. Saya menung fikir, bila lagi agaknya saya bisa jadi suka dan rela begini, menghulur bantuan dengan kudrat yang ada, tika orang lain sibuk berduyun-duyun membeli makanan di bazaar.

-moga bersua lagi wahai Ramadhan

No comments: